PETALING JAYA: Seorang pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berkaitan set pembekalan peralatan penyelaman berjumlah kira-kira RM18,000.
Menurut sumber, pemilik syarikat yang berusia lingkungan 40an itu ditahan jam 11 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Ujarnya, suspek lelaki itu dipercayai membuat tuntutan palsu pada 2019 sedangkan tiada pembekalan dibuat kepada sebuah lembaga pemegang amanah di Sabah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.