Tumpuan :
Nasional

Tuntutan palsu : 5 penjawat awam ditahan

KOTA KINABALU: Lima penjawat awam termasuk wanita ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan perpindahan palsu ke beberapa daerah di Sabah bernilai RM61,000.

Sumber berkata, suspek dipercayai mengemukakan penyata syarikat pengangkutan bagi bayaran penghantaran barangan rumah dan kenderaan, sedangkan perkhidmatan itu tidak pernah dilakukan.

Mereka yang berusia 30 hingga 50 tahun ditahan antara jam 10 pagi hingga 12.30 tengahari ketika hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Menurutnya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah esok dan tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi tangkapan susulan.

“Susulan siasatan kes ini, SPRM Sabah mencadangkan beberapa penambahbaikan dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah terhadap pekeliling perkhidmatan sistem dan prosedur tuntutan pindahan.

“Kerajaan negeri menyambut baik khidmat nasihat dan kini dalam proses penambahbaikan,” katanya.

Loading...
Terkini