comscore
Tumpuan :
Nasional

“Tunggu saya balik ye mak” jadi ungkapan terakhir salah seorang mangsa tragedi Jeram Mawar

Halimah bersama anggota keluarga menunggu di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah. Foto NSTP/Faizul Azlan Razak

KUALA TERENGGANU: Halimah Kasim 63 tahun tidak menyangka ungkapan ‘tunggu saya balik esok ye mak’ menjadi perkataan terakhir didengarnya daripada mulut anaknya Azizah Eiyi, 40, salah seorang mangsa kepala air Jeram Mawar di Kemaman, Sabtu lalu.

Lebih menyedihkan beliau apabila yang pulang kemudiannya hanya mayat anaknya, menantu serta cucu-cucu.

Menjelaskan lebih lanjut, Halimah memberitahu anaknya itu dan keluarga sempat singgah di rumahnya yang terletak di FELDA Lepar Hilir 3, Gambang, Pahang sebelum bertolak ke Kemaman.

Menurut Halimah lagi, ketika itu Azizah ada mempelawanya menyertai perjalanan itu, namun dia terpaksa menolak kerana tidak mahu bermalam di tepi sungai, apa tah lagi suaminya, Eiyi Johari, 60, pula bekerja.

“Azizah meminta saya menunggunya balik daripada berkelah dan tidak sangka kami menunggunya di bilik mayat.

Malah, ketika Azizah datang rumah, tiada perubahan ketara ditunjukkan. Cuma, seminggu sebelum kejadian ini, Azizah dan anak-anaknya agak jarang datang ke rumahnya.

Jika tidak, boleh dikatakan setiap pagi dan petang anak-anak Azizah menghabiskan masa mereka bermain dan berada di rumah saya,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Halimah memberitahu pada mulanya anggota polis dari Balai Polis Gambang, Pahang datang meminta semua maklumat anak, menantu dan cucunya tanpa memaklumkan perkara sebenar.

Namun pada kira-kira jam 2 petang (Ahad), anggota polis dari Balai Polis Air Putih Kemaman pula menelefon dan bercakap dengan anaknya yang keenam memaklumkan menemui mayat Azizah dan anak lelaki berusia 11 tahun.

“Sebaik menerima berita itu, saya hampir pengsan. Saya bersama suami dan beberapa ahli keluarga lain kemudian bertolak ke Hospital Kemaman kira-kira jam 5 petang untuk proses pengecaman,” katanya.

Halimah berkata sekalipun sukar untuk menerima kejadian itu, dia sekeluarga reda dengan ujian itu.

“Saya berdoa supaya semua cucu-cucunya dapat ditemui dengan segera walau apa sekali pun,” katanya.

Loading...
Terkini