KOTA KINABALU: Siasatan kematian anak perempuan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, yang maut terkena tembakan 16 April lalu, polis kini masih menunggu laporan forensik isi kandungan telefon bimbit milik mangsa.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pihaknya sebelum ini sudah menghantar telefon bimbit berkenaan kepada Pasukan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah untuk disiasat.
Setakat ini, katanya pihak polis belum menerima sebarang keputusan berhubung maklumat telefon bimbit milik mangsa.
“Kita masih meneruskan siasatan termasuk menunggu laporan forensik bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan telefon berkenaan.
“Kita ingin mendapatkan apa kandungan di dalam telefon bimbit mangsa. Telefon bimbit berkenaan ada kata laluan dan kita menghantar kepada pihak forensik untuk memastikan tiada masalah teknikal berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Majlis Serah Tugas berkenaan dijalankan antara Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah yang bersara wajib kepada bekas Ketua Polis Daerah Beluran, Asisten Komisioner Kasim Muda.
Jauteh berkata, bapa mangsa ketika ini masih menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Lahad Datu seperti biasa.
16 April lalu, mangsa yang berusia 14 tahun ditemui berlumuran darah di dalam bilik di rumahnya di Taman Tabanak, Lahad Datu.
Siasatan polis kemudiannya mendapati, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan terkena tembakan di bahagian dada kanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.