KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengemukakan 635 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen antara Januari dan Jun 2024 untuk menghalang mereka meninggalkan Malaysia selagi belum menjelaskan terlebih dahulu tunggakan caruman KWSP, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.
Ketua Pegawai Operasi KWSP, Sazaliza Zainuddin, berkata KWSP mengingatkan semua majikan untuk membayar caruman pekerja mereka dengan segera seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 43(1) Akta KWSP.
“Kegagalan membayar caruman KWSP pada masanya merupakan satu kesalahan serius dan KWSP tidak akan teragak-agak untuk menggunakan penyelesaian undang-undang terhadap majikan yang ingkar, termasuk tindakan sivil dan jenayah, untuk melindungi hak pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Caruman bulanan menunjukkan komitmen majikan terhadap kesejahteraan pekerja dan bagi memenuhi kewajipan undang-undang.
KWSP akan terus menguatkuasa dan memantau majikan untuk memastikan semua jumlah tertunggak dibayar sepenuhnya.
Sehingga Jun 2024, sejumlah 13,820 majikan, atau 2.02 peratus daripada keseluruhan 685,399 majikan yang berdaftar dengan KWSP, telah gagal membayar caruman pekerja mereka.
Bagi tempoh yang sama, seramai 12,787 pengarah syarikat telah dihalang keluar negara akibat tunggakan caruman, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.
Dalam tempoh antara Januari dan Jun 2024, sebanyak 1,932 saman sivil telah difailkan terhadap pengarah syarikat manakala 2,200 kes jenayah difailkan terhadap majikan yang ingkar caruman KWSP bulanan pekerja mereka.
KWSP menasihati ahli agar menyemak akaun KWSP mereka secara berkala melalui aplikasi KWSP i-Akaun untuk memastikan caruman daripada majikan mereka dibayar dengan tepat jumlahnya dan pada masanya.
Sekiranya terdapat percanggahan, ahli hendaklah menghubungi majikan mereka dengan segera atau melaporkan kepada KWSP melalui laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, atau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.
Di samping itu, KWSP amat menggalakkan majikan untuk menggunakan platform KWSP i-Akaun yang membolehkan mereka menyemak dengan selamat senarai pekerja bagi caruman yang telah dibayar serta sejarah pembayaran mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.