Tumpuan :
Nasional

Tun Juhar solat Aidilfitri bersama 5,000 jemaah di Masjid Negeri

Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri bersama lebih 5,000 jemaah di Masjid Negeri Sabah, pagi tadi

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bersama lebih 5,000 jemaah di Masjid Negeri Sabah, di sini, pagi tadi.

Beliau dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni tiba pada jam 7.20 pagi disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M.Yahya; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya serta beberapa barisan kabinet negeri.

Bermula jam 7.30 pagi solat sunat Hari Raya Aidilfitri diimamkan Imam Besar Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting disusuli khutbah bertajuk ‘Azam lakukan perubahan capai kemajuan’ yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar.

Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah meluangkan masa bersalaman dengan para jemaah sebelum beredar meninggalkan majlis pada jam 8.20 pagi.

Terdahulu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri berkata, rakyat di Sabah diminta agar terus mengekalkan perpaduan dan bersama-sama mengukuhkan iltizam untuk membangunkan serta memajukan negeri ini.

Beliau turut memaklumkan kerajaan Sabah yang dipimpinnya sejak lebih tiga tahun lalu telah mengharungi pelbagai bentuk ujian dan cabaran, bermula ketika serangan pandemik Covid-19 hingga kepada isu ekonomi serta pergolakan politik.

Ujarnya, berkat kesabaran, kecekalan dan perpaduan dalam kalangan rakyat, semuanya dihadapi secara bersama dengan penuh tabah serta bijaksana.

“Dalam masa sama, saya juga berasa bangga kerana Sabah dianugerahi kepelbagaian budaya dan kepercayaan namun kita dapat hidup dalam keadaan aman dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Keadaan ini telah membuka ruang yang luas untuk kita mengeksploitasi keupayaan diri dan membawa keluarga, masyarakat, negeri dan negara ke tahap yang lebih baik. Inilah pentingnya keamanan biarpun berbeza agama, budaya dan kepercayaan,” katanya.

Datuk Seri Hajiji turut mengingatkan rakyat supaya mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan pertugas barisan hadapan yang tidak pernah jemu berkhidmat demi untuk negara termasuk pada musim perayaan.

“Tidak dilupakan kepada mereka yang serba kekurangan untuk terus diingati dan dibantu terutama pada musim perayaan ini. Saat ini juga adalah masanya untuk kita saling kunjung-mengunjungi untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini