KUALA LUMPUR: Pemimpin negara merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia hari ini.
Rata-rata menyifatkan pemergian Daim sebagai satu kehilangan besar untuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Daim seorang tokoh pemimpin yang banyak berjasa kepada negara.
Justeru, beliau mendoakan supaya keluarga Daim dipermudahkan segala urusan mereka selain tabah menhadapi dugaan ini.
“Pagi ini kita menerima berita sedih pemergian Tun Daim Zainuddin yang telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
“Semoga Allah SWT mengampunkan dosa beliau, menempatkan rohnya bersama mereka yang beriman dan menganugerahkan pahala untuk segala sumbangan beliau kepada negara,” katanya yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) menerusi platform X.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sumbangan Daim selama ini tidak ternilai kepada tanah air dan ia menjadi aspirasi kepada generasi akan datang.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya Presiden AMANAH itu.
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Daim.
“Salam takziah saya sampaikan buat keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin, mantan Menteri Kewangan negara di atas pemergian beliau pada hari ini.
“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya yang juga Pengerusi DAP.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman, menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Daim sambil menyifatkan Allahyarham sebagai sosok utama sewaktu bergiat dalam UMNO suatu ketika dahulu.
Sama ada baik atau buruk, beliau berkata yang Daim masih memberi sumbangan kepada parti,” kata Ahli Parlimen Pengerang itu kepada pemberita hari ini.
Sebelum mula menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat pagi, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, mengambil kesempatan mengucapkan takziah atas pemergian Daim.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menggambarkan Daim seorang sosok yang dikenali atas komitmen dan kebijaksanaan dalam menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan suatu ketika dahulu.
Tambahnya, sumbangan Daim meninggalkan impak mendalam dalam membangunkan ekonomi negara dan mengukuhkan kestabilan kewangan negara ini.
“Sesungguhnya negara kehilangan seorang tokoh besar yang telah banyak berjasa dan menyumbang kepada kemajuan Malaysia dalam pelbagai bidang, khususnya ekonomi dan pentadbiran,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.