Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa & Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil mengakui Allahyarham Tun Daim Zainuddin banyak berjasa kepada negara.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, antaranya membantu kerajaan menangani krisis kewangan pada 80-an ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.
“Kita tidak boleh nafikan pada 80-an dan sewaktu krisis kewangan memang Allahyarham ada bantu kerajaan sebagai Menteri Kewangan dan tugas-tugas yang beliau laksanakan telah mengembalikan Malaysia pada landasan yang baik.” katanya kepada Buletin TV3 selepas selesai solat jenazah Allahyarham Daim di Masjid Wilayah Persekutuan, ibu negara, petang tadi.
Turut hadir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dalam pada itu, Datuk Seri Ismail menyifatkan, pemergian Allahyarham bukan sahaja kehilangan besar kepada keluarganya malah kepada rakyat Malaysia.
“Kita kehilangan seorang figura besar yang banyak berjasa kepada negara.
“Jadi kehilangan Allayarham Tun Daim bukan sahaja kehilangan kepada keluarga dan sahabat handai, tetapi kehilangan kepada negara,” ujarnya
Terdahulu, jenazah Allahyarham Tun Daim selesai disolatkan oleh anak saudaranya, Amir Imran yang disertai kira-kira seribu jemaah.
Jenazah Allahyarham Tun Daim kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Bukit Kiara 1, ibu negara, jam 6.10 petang.
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, 86, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.21 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.