KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas dakwaan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta.
Daim, 85, bekas Menteri Kewangan itu dijangka didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi pada jam 9 pagi ini.
Kelmarin, Daim dalam kenyataannya berkata, SPRM sudah mengambil rakaman percakapannya dan memaklumkan bahawa beliau akan didakwa pada Isnin (29 Januari) atas kesalahan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang juga kesalahan berkaitan dengan pendedahan aset.
Pada Rabu, SPRM mengesahkan sudah mendapat kebenaran untuk mendakwa Daim yang memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan daripada tahun 1984 sehingga 1991, namun ia terpaksa ditangguhkan atas masalah kesihatan.
Menurut agensi itu, siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.
Pada 23 Januari lalu, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Khalid didakwa di hadapan Azura, dengan tuduhan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(b) akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.
Ia yang mana, tertuduh tidak mengisytiharkan harta seperti yang dinyatakan dalam lampiran A antaranya bangunan Menara Ilham, dua kereta Mercedez Benz serta beberapa aset harta di Bukit Tunku, Taman Tun Dr Ismail dan Pulau Pinang.
Pertuduhan itu adalah mengikut seksyen 36(2) Akta SPRM (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan boleh didenda tidak lebih RM100,000 jika sabit kesalahan.
Menurut SPRM kertas siasatan bagi kes berkaitan telah dibuka pada Februari tahun lepas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Tun Daim akan dihadap ke Mahkamah Sesyen KL esok
- Tun Daim akan didakwa Isnin ini
- [VIDEO] Isteri Daim tiba di Kompleks Mahkamah KL
- Isteri Tun Daim akan didakwa esok
- Siasatan ke atas anak bekas PM tiada kaitan kes Daim – SPRM
- Daim masuk hospital, SPRM tetap tarikh baharu rakam keterangan
- [KEMAS KINI] [VIDEO] Isteri, anak Daim tiba di SPRM bantu siasatan
- [KEMAS KINI] Isteri Daim mengaku tidak bersalah gagal isytihar harta