Tumpuan :
Nasional

Tumpahan minyak sawit jejaskan bekalan air mentah LRA Sungai Gombak selama 16 jam

Insiden tumpahan minyak sawit susulan sebuah lori tangki terbalik di Kilometer 27.9 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada awal pagi semalam menjejaskan bekalan air mentah LRA Sungai Gombak selama 16 jam. – FOTO: Ihsan LUAS/ Facebook

SHAH ALAM: Insiden tumpahan minyak kelapa sawit susulan sebuah lori tangki terbalik di Kilometer 27.9 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) awal pagi semalam menjejaskan bekalan air mentah Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak selama 16 jam.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, bekalan air mentah di LRA berkenaan mula terjejas pada jam 2 pagi hingga 6 petang semalam.

Katanya, hasil semakan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) tumpahan minyak daripada kenderaan terlibat didapati masuk ke dalam longkang berhampiran dengan jumlah anggaran sebanyak 20 tan dan sepanjang 150 meter.

“Dalam kejadian sekitar jam 2 pagi itu, konsesi lebuh raya itu segera melaksanakan pengawalan tumpahan minyak daripada insiden berkenaan dengan meletakkan serbuk kayu di atas jalan dan membina ban tanah di longkang lebuh raya.

“Semakan LUAS mendapati terdapat limpahan tumpahan tersebut yang terkumpul di kebuk takungan (sump) lebuh raya mengalir ke anak Sungai Gombak.

“Kesan daripada limpahan tersebut turut menjejaskan bekalan air mentah kepada LRA Sungai Gombak bermula pada jam 2 pagi sehingga jam 6 petang semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, LUAS juga telah mengarahkan syarikat pemilik kenderaan terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut yang melibatkan kerja-kerja menyodok keluar sisa minyak yang membeku dengan lapisan yang tebal di dalam longkang dan kebuk takungan lebuh raya.

Katanya, LUAS juga melaksanakan tindakan kawalan pencegahan dengan meletakkan tiga unit oil boom di anak Sungai Gombak bagi memerangkap sebarang kesan minyak masuk ke sungai berkenaan dan 10 beg activated carbon (AC) bagi tujuan nyahbau.

“Sehingga jam 10.30 pagi hari ini, kerja-kerja pembersihan di lokasi terlibat sudah mencapai tahap 60 peratus. Selain itu, kerja-kerja pembersihan secara manual (menyodok keluar sisa minyak) juga dilaksanakan bagi mempercepatkan proses.

“Keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan LUAS terus berada di tapak memantau rapi kerja-kerja berkenaan dan keadaan semasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini