SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan insiden tumpahan minyak diesel di hulu Sungai Slim, Perak, malam tadi.
Agensi itu berkata, maklumat berhubung kejadian itu diterima daripada pihak berkuasa negeri Perak sekitar jam 8 malam.
“Kawasan tadahan Sungai Slim merupakan sebahagian daripada lembangan Sungai Bernam di Perak yang mana aliran ini juga masuk ke Sungai Bernam, Selangor.
“Pasukan kami dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) segera membuat semakan di Sungai Bernam dan muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Bernam River Headworks (BRH), selain mengaktifkan pemantauan statik di Sungai Slim,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
LUAS berkata, sehingga jam 1 pagi ini pemantauan bau di lokasi mencatatkan bacaan 0 ton dan keadaan adalah terkawal.
Menurutnya, kedua-dua pihak sedang memantau rapi keadaan semasa di aliran sungai terlibat dan siap siaga untuk mitigasi segera.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.