SUNGAI PETANI: Seorang dilaporkan pengsan, manakala 16 lagi mangsa mengalami pedih mata dan pening kepala akibat tumpahan bahan kimia sodium hypochlorite di sebuah kilang perindustrian di Bakar Arang, di sini, semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kilang pembuatan sarung tangan getah itu, pada 3.04 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang diketuai Yazid Ismail bersama 16 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Sebaik tiba, didapati 17 mangsa dilaporkan terkesan akibat kejadian itu yang mana seorang dilaporkan pengsan dan 16 lagi mengalami pedih mata dan pening kepala.
“Jumlah itu membabitkan 15 wanita dan dua lelaki dipercayai pekerja kilang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jurucakap itu berkata, mangsa pengsan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, manakala tiga mangsa yang mengalami pedih mata dihantar ke klinik berhampiran oleh pihak kilang.
Katanya, enam lagi mangsa dihantar oleh jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke hospital selepas mengadu pening kepala dan pedih mata.
“Pasukan Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Kulim Hi- Tech kemudian dimaklumkan berhubung kejadian itu.
“Tumpahan bahan kimia sodium hypochlorite itu dianggarkan berlaku sebanyak 60 liter dan tindakan nyah cemar dilakukan di lokasi menggunakan air,” katanya.
Dalam pada itu katanya, tujuh lagi mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pada 5.23 petang bagi pemeriksaan susulan berikutan pedih mata dan pening kepala.
“Operasi tamat pada 5.48 petang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.