comscore
Tumpuan :
Nasional

Tumpahan bahan kimia di IPG, dipercayai angkara oyen

Foto: Ihsan Bomba

GEORGE TOWN: Pasukan Bomba dan Penyelamat dipanggil bagi melakukan pemeriksaan di bilik makmal Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang, Persiaran Tunku Kudin, di sini, hari ini berikutan berlakunya tumpahan bahan kimia.

Difahamkan, tumpahan berkenaan disedari oleh pembantu makmal sebelum wanita itu menghubungi talian kecemasan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fauzian Izzuan Abdullah berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan pada jam 4.48 petang.

Katanya, seramai 16 anggota termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Bayan Baru ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan.

“Ketika tiba di lokasi, didapati berlaku tumpahan bahan kimia daripada botol yang pecah di dalam bilik makmal itu.

“Ia membabitkan 10 botol bahan kimia jenis ‘Sodium Dihydrogen’ yang keseluruhannya sebanyak 500 mililiter (ml),” katanya.

Mengulas lanjut Fauzian Izzuan berkata, pasukan penyelamat membuat tindakan awal dengan mengosongkan dan memastikan tiada individu di dalam bangunan itu.

“Selepas mengenal pasti jenis bahan kimia yang tumpah, pasukan bomba kemudian melakukan proses nyah cemar sebelum memastikan keadaan bilik makmal benar-benar selamat.

“Sebelum kejadian itu, kelas sudah tamat dan tiada individu atau aktiviti dijalankan di dalam makmal berkenaan.

“Difahamkan, botol berkenaan dijatuhkan oleh kucing yang menyelinap masuk ke dalam bilik itu sebelum ia disedari oleh pembantu makmal,” katanya lagi.

Operasi tamat pada jam 6.47 petang.

Loading...
Terkini