SUNGAI PETANI: 21 lagi pekerja kilang pembuatan sarung tangan getah di Kawasan Perindustrian Bakar Arang dikejarkan ke hospital akibat kebocoran bahan kimia (ammonia), hari ini.
Semua mereka mengalami muntah dan sesak nafas akibat kejadian itu.
Kilang itu adalah kilang sama yang menyebabkan 17 pekerja mengalami pedih mata dan pening kepala termasuk seorang daripadanya pengsan akibat terhidu bahan kimia sodium hypochlorite, semalam.
Komander Operasi Kanan Zon 2, Sungai Petani, Penguasa Bomba Johari Bar Azwar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.01 pagi hari ini.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Syamsol Moin bersama 22 anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima maklumat berlaku tumpahan bahan kimia di kawasan kilang berkenaan.
“Berikutan pasukan BBP Sungai Petani dihantar ke lokasi kejadian.Johari berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya dimaklumkan terdapat 21 mangsa dipercayai pekerja kilang itu mengalami sesak nafas dan muntah.
Beliau berkata, kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan lanjut oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jentera EMRS BBP Sungai Petani.
“Komander Operasi melaporkan, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Kulim tiba di lokasi dan sedang melakukan kerja-kerja untuk mengenal pasti bahan kimia terbabit dan membuat pengalihan bahan berkenaan.
“Setakat ini operasi masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media hari ini melaporkan, seorang dilaporkan pengsan, manakala 16 lagi mangsa mengalami pedih mata dan pening kepala akibat tumpahan bahan kimia sodium hypochlorite di sebuah kilang perindustrian di Bakar Arang, di sini, semalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.