comscore
Tumpuan :
Nasional

Tular rakyat tempatan jadi tentera upahan di Ukraine: Keluarga maklum individu terbabit hanya lanjut pelajaran

KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesahkan sedang menunggu maklum balas daripada Kedutaan Rusia berikutan dakwaan terdapat pembabitan rakyat Malaysia dalam konflik perang Rusia – Ukraine.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Cawangan Khas sudah berhubung dengan pihak Kedutaan Rusia di Malaysia berhubung perkara itu.

“Kita masih menunggu maklum balas mereka (pihak kedutaan) untuk pengesahan dakwaan berkenaan.

“Ini termasuklah status warga tempatan yang dikaitkan dengan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin berkata PDRM juga sudah berhubung dengan pihak keluarga individu yang dokumen pengenalan dirinya ditemui di Livadny, Zaporizhia, Ukraine itu.

Bagaimanapun, katanya pihak keluarga memaklumkan individu terbabit hanya melanjutkan pelajaran di sana.

Katanya, tindakan lanjut sedang diambil oleh pihak PDRM berkaitan perkara itu.

“Kita minta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi selain diingatkan untuk tidak terlibat dengan mana-mana ‘pejuang asing’,” katanya.

Kelmarin, tular penemuan dua keping gambar menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.

Terdapat dakwaan di media sosial bersama gambar itu, mendakwa ia milik seorang rakyat negara ini yang tidak dapat dipastikan statusnya sama ada terbunuh atau ditahan tentera Rusia.

Dikatakan, kedua-dua dokumen itu ditemukan selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.

Lelaki berkenaan kononnya membabitkan diri sebagai tentera upahan dalam ’16th Rifle Batallion Ukraine’ yang mana ia sedang berdepan dengan tentera Rusia di Ukraine.

Berdasarkan pemerhatian ke atas salah satu gambar yang tular, lesen memandu itu milik seorang individu beralamat di Padang Besar, Perlis dan ia sah sehingga Februari 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini