Tumpuan :
Nasional

Tular : Polis cari sekumpulan remaja main papan selaju secara bahaya

JOHOR BAHRU: Gelagat sekumpulan remaja yang bermain papan selaju di atas jalan raya di sekitar bandaraya ini mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Berdasarkan video tular berdurasi 36 saat, empat remaja lelaki meluncur secara meluru turun bukit berselekoh sehingga hampir menyebabkan kemalangan dengan sebuah motosikal.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihak polis memandang serius aktiviti terbabit.

“Polis mengesan video sekumpulan pemuda bermain papan luncur secara berbahaya menerusi pemilik akaun facebook ‘Asfarizal Syazwan’ hari ini.

“Pihak polis akan membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas kepada terhadap individu yang melakukan aktiviti yang boleh menganggu ketenteraman awam.

“Kes ini menjadi kesalahan mengikut kaedah 3 (1) kaedah-kaedah lalu lintas jalan (larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti) dengan hukuman mengikut seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu tular sebuah video yang memaparkan empat pemuda meluncur laju di selekoh jalan raya dipercayai berdekatan Persada di sini.

Ketika meluncur, seorang pemuda hampir terjatuh dan rakannya mengelak sehingga hampir dilanggar sebuah motosikal yang kebetulan melalui di kawasan tersebut.

Loading...
Terkini