RANAU: Polis menjalankan siasatan berhubung video tular di media sosial hari ini memaparkan kejadian buli pelajar yang didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah di sini.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata,pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit pada jam 3.26 petang tadi.
“Pihak polis mengambil maklum perkara berkenaan dan setakat ini, kes di peringkat siasatan terperinci berhubung video tular terbabit”.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video berkenaan,” katanya.
Simiun berkata, pihak polis juga menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menyalurkan maklumat di IPD Ranau bagi membantu siasatan.
@buletintv3 Polis menjalankan siasatan berhubung video tular di media sosial hari ini memaparkan kejadian buli pelajar yang didakwa berlaku di sebuah sekolah menengah di Ranau. #buletintv3 #beritatiktok #buli
♬ Breaking News Background Music (Basic A)(1001538) – LEOPARD
Terdahulu, tular satu video berdurasi 5 minit 33 saat di media sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp memaparkan mangsa dikerumuni sekumpulan pelajar di dalam sebuah bilik darjah.
Mereka dilihat seperti berbincang sesuatu sebelum beberapa pelajar menendang, menumbuk dan menampar beberapa pelajar lain bergilir-gilir.
Insiden turut dirakam oleh salah seorang pelajar yang berada di tempat kejadian.
Namun, tidak dinyatakan punca mangsa dan rakannya itu diperlakukan sedemikian.