SEREMBAN: Disebabkan memandu secara melawan arus dekat Jalan Rasah, di sini, pagi tadi, seorang lelaki warga emas ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kira-kira jam 11.45 pagi pihaknya mengesan video berdurasi 16 saat yang memaparkan MPV jenis Proyon Exora berwarna biru yang dipandu secara melawan arus.
Tular memandu melawan arus, warga emas ditahan pic.twitter.com/CA7sGLM8Dt
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 27, 2023
“Siasatan lanjut mendapati kejadian tular ini berlaku kira-kira jam 10 pagi ini yang mana MPV itu bergerak di lorong paling kanan ke arah Seremban 3.
“Perbuatan ini boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat yang diperolehi, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban mengesan dan menahan seorang lelaki berumur 73 tahun di Taman Desa Rasah, di sini.
“Warga emas ini kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Arifai berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat BSPTD Seremban, Inspektor Sudesh Kumar di talian 016-4830853 atau IPD Seremban 06-6033222.