comscore
Tumpuan :
Nasional

Tular cubaan samun wanita, suspek dicekup polis  

Oleh: Safwan Sawi

TAWAU: Seorang lelaki yang terlibat kes cubaan samun seorang wanita di parkir belakang sebuah kedai di Jalan Pelabuhan, di sini, yang tular di media sosial telah ditahan polis, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 38 tahun itu diberkas sepasukan anggota Strike Team dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sekitar Kampung Tanjung Batu Keramat, jam 5.40 petang.

“Ketika tangkapan dibuat, suspek cuba bertindak agresif dan berlaku pergelutan antara polis dan suspek.

“Bagaimanapun suspek berjaya ditahan anggota Strike Team dan BSJ IPD Tawau,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek dibawa ke IPD Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan samun.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek memiliki dua rekod berkaitan jenayah pecah rumah dan dadah,” katanya.

Semalam, tular video memaparkan suspek cubaan menyamun mangsa yang ketika berada di dalam kenderaan sebelum didatangi oleh suspek.

Difahamkan, ketika kejadian suspek telah menegur mangsa berusia 32 tahun dan mengatakan tayar keretanya pancit sebelum suspek secara tiba-tiba terus mencekik leher.

Suspek kemudian cuba untuk mengambil barangan berharga milik mangsa tetapi gagal lalu melarikan diri.

Kejadian itu turut dirakam sebelum video berkenaan tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini