Tumpuan :
Nasional

Tular buaya berhampiran The Gardens Midvalley, KL Eco City

Foto tular

KUALA LUMPUR: Penemuan seekor buaya di sungai berhampiran pusat beli belah The Gardens Midvalley dan KL Eco City petang tadi, mengejutkan warga kota.

Penemuan reptilia itu menarik perhatian orang ramai ke jambatan yang menghubungkan kedua-dua kawasan berkenaan, selepas berita mengenai penemuan buaya itu tular di media sosial petang tadi.

Sekumpulan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dilaporkan sedang memantau kehadiran buaya yang jarang berlaku di Sungai Klang, terutamanya di kawasan terbabit.

Sebelum ini, satu penemuan repitilia dilaporkan di Sungai Klang berhampiran kawasan Masjid Jamek pada 25 Januari lalu, namun belum dapat dipastikan sama ada buaya yang ditemui di kawasan The Gardens Midvalley dan KL Eco City hari ini adalah buaya yang sama.

Terdahulu, sebuah video mengenai penemuan buaya itu telah tular di media sosial, menarik perhatian orang ramai ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, semua agensi terbabit, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), PERHILITAN, APM dan polis berada di lokasi kejadian sejak petang tadi.

“Setelah berbincang dengan semua agensi yang terbabit, kami mengambil keputusan untuk menurunkan bot ke dalam sungai untuk mencari dan menangkap haiwan itu,” katanya kepada New Straits Times.

Beliau berkata perangkap akan dipasang untuk menarik buaya berkenaan ke dalam perangkap.

Sementara itu, PERHILITAN juga sedang memasang perangkap untuk menangkap buaya sepanjang tiga meter itu.

Pengarah PERHILITAN Wilayah Persekutuan, Ishak Muhammad turut menasihati orang ramai untuk menjauhi kawasan terbabit sehingga buaya itu ditangkap.

“Usaha sedang dijalankan untuk memantau kawasan sekitar bagi mencari buaya yang dipercayai sepanjang tiga meter ini.

“Berdasarkan pemerhatian kami terhadap video haiwan itu, kami percaya bahawa ia adalah buaya yang sama yang ditemui berhampiran Masjid Jamek baru-baru ini,” katanya kepada New Straits Times.

Beliau berkata dengan bantuan daripada APAM, pihaknya menggunakan bot untuk memantau sungai berhampiran kawasan yang terakhir kali buaya itu dilihat.

“Selain itu, bersama dengan Pusat Penyelamatan Hidupan Liar Negara (NWRC), kami juga telah memasang perangkap malam ini untuk menangkap reptilia terbabit yang dipercayai tersesat dari habitat asalnya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan sebarang aktiviti di sungai berhampiran,” tambahnya.

Pada 8 Februari lalu, dilaporkan bahawa PERHILITAN meningkatkan tahap kesiapsiagaan selepas sebuah video tular menunjukkan seekor buaya yang didakwa kelihatan di sebuah sungai berhampiran Masjid Jamek.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini