Tumpuan :
Nasional

Tular asrama MRSM diceroboh, MARA jamin akan tanganinya

KANGAR: Susulan kes tular yang mendakwa asrama perempuan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pekan, Pahang diceroboh, Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi jaminan ia akan ditangani sebaik mungkin.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MARA juga akan memastikan keselamatan pelajar di semua kemudahannya terus terpelihara.

 

“Saya beri jaminan apa juga isu yang diperkatakan (berhubung MRSM) akan ditangani sebaiknya, tidak ada soal nak sorok ke apa.

“Insya-Allah setiap aduan bahkan apa juga isu yang dikemukakan akan kita jawab,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Outlet Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara Petronas (PUMP) di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, beliau sendiri aktif menggunakan media sosial dan peka dengan kebimbangan ibu bapa terhadap perkara yang ditularkan, serta menyiasatnya secara mendalam.

Terdahulu, seorang pengguna FB memuat naik hantaran yang tular semalam, mendakwa asrama perempuan MRSM Pekan diceroboh hingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa pelajar.

Dakwa bapa kepada seorang pelajar itu, selain diceroboh, ada pelajar pernah diraba dan dicabul individu tidak dikenali di asrama itu.

Dia menyeru tindakan segera dan campur tangan Pengerusi Mara bagi menjamin keselamatan pelajar.

Loading...
Terkini