Tumpuan :
Nasional

Tukang rumah lakukan khalwat berulang disebat di khalayak 27 Disember ini

Mohd Affendi Awang, 42, bakal disebat di khalayak pada 27 Disember ini atas kesalahan khalwat berulang. – FOTO NSTP

KUALA TERENGGANU: Hukuman sebat terhadap individu pertama di Terengganu kerana melakukan kesalahan khalwat berulang yang ditangguh sebelum ini, akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, pada 27 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata pelaksanaan hukuman sebat itu sepatutnya dilaksanakan 6 Disember lalu namun ditangguhkan susulan permohonan semakan difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Disember lalu.

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Disember lalu memutuskan permohonan semakan yang dibuat teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

Hasil persidangan itu, katanya, mahkamah turut memutuskan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda sebagaimana keputusan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail pada 20 November lalu, dikekalkan.

“Hukuman sebatan ke atas pesalah khalwat berulang kekal dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu sebagaimana keputusan terdahulu.

“Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.

“Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Muhammad Khalil berkata, hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir itu adalah sebagai pengajaran supaya individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan.

Katanya, pelaksanaan hukuman sebatan takzir itu juga bertujuan menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.

“Kerajaan negeri ingin mengajak orang ramai untuk mendoakan proses pelaksanaan hukuman jenayah syariah (takzir) ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Pada 20 November lalu, seorang tukang rumah dilapor menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam sebatan di khalayak di sebuah masjid kerana kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini