Tumpuan :
Nasional

Tukang masak didenda RM2,500 kes tendang motosikal polis

Anggota polis mengiringi seorang tukang masak, Muhamad Idris Md Eusoff, 33 (baju belang) yang berdepan pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di Mahkamah Majistret di Jawi, Nibong Tebal. – FOTO: NSTP

NIBONG TEBAL: Seorang tukang masak didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah menendang motosikal milik anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang bertugas pada Selasa lalu.

Muhamad Idris Md Eusoff, 33, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Jawi, hari ini.

Selain itu, tertuduh turut diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan anggota URB daripada menjalankan tugasnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Besar Valdor di Seberang Perai Selatan, jam 12.25 tengah malam 14 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafifah Mohd Shokri manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M Catherine Joysce.

Norafifah memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran manakala Catherine merayu hukuman ringan kerana tertuduh menyesali perbuatannya, selain perlu menanggung keluarga termasuk dua adik yang bersekolah.

Mengikut fakta kes, dua anggota URB yang melakukan rondaan di Sungai Bakap meminta tertuduh memberhentikan motosikal ditunggang untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, tertuduh melarikan diri selain menghimpit dan menendang motosikal anggota berkenaan menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

Sementara itu, di mahkamah sama, Muhamad Idris turut mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki heroin 1.4 gram (g) mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi kes itu, tertuduh dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Mac depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini