KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang tukang kayu untuk membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha esok tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Jalan Paloh-Pulau Rusa berdekatan Jambatan Manir, Kuala Terengganu pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Fathihin Najmi Ruslan, 23 tahun, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Kedai Buluh ke pasar untuk membeli barangan dapur.
Dalam kejadian kira kira jam 8 pagi tadi, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar belakang sebuah lori rosak yang telah lama dibiarkan tersadai di situ.
Bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dikerahkan untuk mengeluarkan mangsa yang terperosok dibawah lori.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Mangsa meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan berusia 2 tahun.