comscore
Tumpuan :
Nasional

Tujuh vesel nelayan asing bernilai RM10.5 juta dilucut hak

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Seksyen Negeri Terengganu telah mengarahkan 7 Vesel Nelayan Asing Vietnam dengan nilai keseluruhan RM10.5 juta dilucut hak.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid, 7 buah vesel tersebut telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu dalam siri Operasi Naga Barat di sekitar perairan negeri ini melibatkan enam buah vesel ditahan pada bulan Mei yang lalu manakala sebuah lagi telah ditahan pada bulan Jun lalu.

Dalam kes tangkapan tersebut, seramai 55 orang kru beserta tekong warganegara Vietnam berumur 20 hingga 60 tahun turut ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan memasuki Zon Maritim Malaysia tanpa kebenaran.

Pihak mahkamah juga telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM300,000 kepada setiap tekong.

Jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan hukuman 5 bulan penjara.

Manakala setiap kru juga dikenakan denda RM120 ,000 dan jika gagal membayar denda boleh dikenakan hukuman 3 bulan penjara.

Daripada jumlah kru yang ditahan, seorang kru berumur 60 tahun telah dibuat pengusiran melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada 30 Jun lalu atas perintah Mahkamah.

 

Mohd Khairulanuar dalam pada itu memaklumkan Op Naga Barat telah dilancarkan sejak 2 Mei 2019 dalam usaha membanteras pencerobohan vesel nelayan asing terutamanya di perairan Pantai Timur Semenanjung.

Sepanjang Op ini dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah merekodkan tangkapan sebanyak 52 kes pada 2019, 66 kes (2020),  65 ( 2021),  37 (2022),  27 (2023)  dan 30 kes setakat Julai 2024.

Maritim Negeri Terengganu juga telah melupuskan sembilan buah vesel nelayan asing Vietnam pada tahun ini dengan kaedah musnah pecah dan ditenggelamkan untuk dijadikan tukun dengan nilai bersih pelupusan sebanyak RM1.65 juta.

Maritim Malaysia akan terus memperkasakan kesiapsiagaan aset bagi memastikan perairan negara khususnya perairan negeri Terengganu terus terjaga daripada pencerobohon vesel nelayan asing.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini