Tumpuan :
Nasional

Tujuh tan sampah terdampar sekitar Pantai Batu Burok sudah dibersihkan

Pekerja kontraktor pembersihan mengutip sisa pokok yang dihanyutkan ke Pantai Batu Burok, hari ini.

KUALA TERENGGANU: Kira-kira tujuh tan sampah hanyut terdampar di sepanjang Pantai Batu Burok, di sini, dibersihkan oleh kontraktor Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), sejak Selasa lalu.

Tinjauan mendapati kerja pembersihan termasuk mengangkat dahan dan kayu hanyut terpaksa dilakukan secara manual oleh pekerja syarikat pembersihan berikutan ketiadaan jentera untuk mengangkut bahan buangan berkenaan.

Kerja pembersihan pantai sejauh kira-kira tiga kilometer terutama mengumpul kayu, dahan dan ranting kayu dihanyutkan arus ketika fenomena air pasang besar terpaksa dilakukan secara bergilir dalam tempoh antara tiga dan empat jam sehari.

Tinjauan turut mendapati pekerja syarikat kebersihan terpaksa mengumpul kayu, dahan dan ranting pokok yang dihanyutkan arus sejak awal bulan lalu bagi memudahkan lori memunggah bahan berkenaan untuk dilupuskan di pusat pelupusan sampah.

Bagaimanapun, agak mengecewakan apabila ada antara pengunjung yang tidak bertanggungjawab membuang sisa makanan dan botol makanan di kawasan longgokan kayu, dahan serta ranting pokok dikumpulkan.

Sementara itu, penyelia syarikat kontraktor kebersihan, Mohd Harris Iskandar Muhatar, berkata kerja pembersihan sampah hanyut itu dilakukan setiap hari.

Katanya, kerja pembersihan sampah hanyut itu hanya membabitkan dahan dan ranting pokok bersaiz kecil.

“Pokok dan dahan pokok bersaiz besar tidak boleh dilakukan, kita akan menggunakan mesin untuk kerja-kerja memotong kayu sebelum diangkut menggunakan lori.

“Kita jangkakan kerja pembersihan keseluruhan pantai peranginan itu siap dilakukan minggu depan,” katanya yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

BH pada Selasa lalu menyiarkan keindahan Pantai Batu Burok tercemar berikutan sampah mengandungi batang, dahan dan ranting pokok serta botol minuman dihanyutkan arus ketika fenomena air pasang berlaku.

Mohd Harris juga turut mengesahkan kerja pembersihan pantai siap dilakukan sejauh kira-kira dua kilometer dan bakinya sejauh satu kilometer dijangka siap awal minggu depan.

Loading...
Terkini