comscore
Tumpuan :
Nasional

Tujuh sekolah di Terengganu dibuka kembali selepas dinaiki air banjir

FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Tujuh sekolah termasuk dua sekolah menengah yang ditutup kerana dinaiki air banjir semalam, dibuka kembali hari ini.

Tinjauan Harian Metro di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, yang ditutup semalam selepas dinaiki air sedalam kira-kira 0.5 meter mendapati, kebanyakan pelajar memakai pakaian sukan seperti garis panduan berkaitan pemakaian seragam murid seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

SMK Bukit Besar dinaiki air selepas berlaku limpahan air di parit besar di hadapan sekolah disebabkan hujan lebat yang bermula petang Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPNT), Jelani Sulong mengesahkan semua sekolah termasuk lima sekolah rendah daripada dua daerah yang ditutup selepas dinaiki air semalam beroperasi seperti biasa hari ini.

FOTO: NSTP

Katanya, kerja pembersihan kawasan sekolah dan kelas yang dinaiki air dilakukan segera oleh pengurusan sekolah selepas air surut tengah hari semalam.

“Air yang menggelamkan tujuh sekolah sehingga terpaksa ditutup mulai surut kira-kira jam 11 pagi.

“Kita mengesahkan sesi pembelajaran di tujuh sekolah yang ditutup selepas dinaiki air semalam beroperasi seperti biasa hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, tujuh sekolah, termasuk dua sekolah menengah di dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu terpaksa ditutup selepas dinaiki air antara 0.3 meter dan 0.5 meter.

Antara sekolah yang ditutup adalah Sekolah Menengah Agama Kebangsaan (SMKA) Sheikh Abdul Malek, SMK Bukit Besar, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, SK Gelugor, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Wei Sin, SK Kedai Buloh dan SK Lubuk Periuk.

Ketika diminta mengulas sesi pembelajaran di dua sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini, Jelani berkata, dua sekolah iaitu SK Kuala Abang di Dungun dan SK Padang Mengkuang, Marang, beroperasi seperti biasa.

Katanya, SK Kuala Abang yang dijadikan PPS hanya menempatkan empat keluarga seramai 16 mangsa banjir.

“SK Padang Mengkuang yang dibuka sebagai PPS pula hanya didiami enam mangsa daripada dua keluarga.

“Walaupun dua sekolah itu dijadikan PPS, tetapi tidak semua bilik darjah dijadikan tempat perlindungan kepada mangsa banjir,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini