Tumpuan :
Nasional

Tujuh rumah di Taman Alam Perdana terbakar, seorang lelaki melecur

Anggota bomba memeriksa sebuah daripada tujuh buah rumah teres di Taman Alam Perdana yang terbakar. – FOTO: NSTP

CHUKAI: Seorang lelaki melecur di kedua-dua bahagian tangan dalam kejadian kebakaran melibatkan tujuh buah rumah di Taman Alam Perdana, Binjal, pagi tadi.

Dalam kebakaran kira-kira jam 7.30 pagi itu, tiga buah kereta serta sebuah motosikal turut hangus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hanif Che Khalid, berkata pihaknya menerima laporan kecemasan kira-kira jam 7.55 pagi.

Menurutnya, seramai 25 anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian dan sebaik sampai, api sedang marak membakar bahagian depan rumah teres terbabit.

“Kami mengambil masa selama kira-kira 50 minit untuk mengawal kebakaran dari merebak.

“Seorang lelaki berusia 53 tahun, turut dikejarkan ke Hospital Kemaman oleh anggota bomba dengan ambulans EMRS selepas melecur di kedua-dua bahagian tangan ketika kejadian,” katanya.

Mohd Hanif berkata, lima daripada tujuh buah rumah itu mengalami kerosakan yang teruk di bahagian hadapan rumah dan hanya sebuah rumah yang terbakar kira-kira 85 peratus.

“Dua buah rumah lagi hanya mengalami kerosakan kecil dan kita bersyukur kerana berjaya mengawal api dari terus merebak ke beberapa buah rumah berdekatan.

“Kita masih menyiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian yang dialami kesemua mangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini