comscore
Tumpuan :
Nasional

Tujuh reformasi PSMB tambah baik tatakelolanya

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) melaksanakan tujuh reformasi dalam usaha untuk menambahbaik tatakelola organisasi itu tahun ini, susulan laporan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) yang dibentangkan di Parlimen, hari ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah PSMB, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, berkata tujuh reformasi berkenaan ialah pemansuhan projek Skills Passport tanpa sebarang kos dan kerugian kepada PSMB mahupun kerajaan serta pengasingan ‘Jawatankuasa Risiko dan Audit’ menjadi dua jawatankuasa berbeza iaitu ‘Jawatankuasa Risiko’ dan ‘Jawatankuasa Audit’.

Katanya, setiap jawatankuasa itu dianggotai oleh Ahli Lembaga pengarah berbeza dan akan dipengerusikan oleh dua ahli lembaga bebas bukan eksekutif, berpengalaman dalam bidang utama dalam kedua-dua fungsi itu.

“Selain itu, pengenalan Akaun Inisiatif Strategik (SIA) yang berasingan dengan akaun amanah levi bagi memastikan pengurusan kewangan yang lebih telus dan cekap selain dapat memperkukuhkan lagi proses memastikan levi majikan hanya digunakan untuk tujuan latihan kemahiran pekerja bagi majikan berdaftar saja dan bukan untuk tujuan lain.

“SIA akan dibiayai melalui Keuntungan Terkumpul PSMB (dan bukan menggunakan dana levi) dengan tujuan menyokong peningkatan kemahiran dan pembangunan modal insan dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mikroPKS, dan komuniti rentan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Abu Huraira berkata, langkah keempat ialah memperketat proses dalaman bagi mendapatkan kelulusan Panel Pelaburan yang merangkumi sebahagian Ahli Lembaga Pengarah yang berpengalaman dalam bidang pelaburan.

“Ini termasuk memperkasakan bahagian perbendaharaan PSMB yang akan menjalankan ‘due diligence’ atau usaha wajar untuk setiap pelaburan.

“Langkah kelima ialah memudah cara serta menggalakkan penggunaan levi oleh majikan melalui dasar-dasar baru, manakala 50 peratus baki levi boleh digunakan untuk menaiktaraf kemudahan latihan in-house dan membayar elaun pelatih amali.

“Transformasi lain dilakukan ialah mempertingkat kecekapan proses kelulusan geran dan pembayaran geran latihan daripada tujuh hari ke 24 jam serta melaksanakan sistem pemantauan permohonan latihan dengan sekali permohonan menggunakan geran kerajaan.

“Sistem terbaru ini akan menolak permohonan itu secara automatik sekiranya terdapat pertindihan nombor kad pengenalan yang sama.

“Justeru PSMB akan memastikan penambahbaikan berterusan bagi menjamin tatakelola baik supaya mandat agensi untuk pembangunan modal insan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini