comscore
Tumpuan :
Nasional

Tujuh kampung di Kiulu alami masalah air

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai meninjau sumber tadahan air penduduk di Kiulu, Tuaran. FOTO: Ihsan Pejabat DUN Kiulu

TUARAN: Lebih 200 isi rumah membabitkan tujuh buah kampung di Kiulu di daerah ini mengalami masalah air kritikal berikutan musim kemarau.

Kampung yang terjejas adalah Kampung Bungoliu, Tomis Baru, Kelawat, Simpangan Lama, Balabakan, Tomis Mangi Pangi dan Bongol.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata beliau mengambil masa sehari mengadakan lawatan di kampung berkenaan pada hari ini bagi meninjau kemudahan setempat dan mendengar luahan penduduk.

Joniston (dua kiri) menyerahkan tangki air kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Medi Marimbang (kiri) di Kampung Tomis, Mangi Pangi, Kiulu. FOTO: Ihsan Pejabat DUN Kiulu

Dalam lawatan itu, beliau bertemu penduduk kampung bagi mendengar masalah dihadapi mereka dan membincangkan langkah penyelesaian untuk jangka masa pendek dan panjang yang perlu dilaksanakan.

“Antara cadangan penyelesaian sementara yang dikenalpasti setakat ini, adalah menyediakan tangki air untuk menyimpan bekalan air di setiap kampung yang terjejas. Manakala untuk jangka masa panjang pula, cadangan penyelesaian adalah untuk menggunakan pam air secara efektif dari sumber air berhampiran,” katanya.

Beliau yang dihubungi petang tadi, turut menekankan supaya Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) menghantar laporan keadaan sumber air kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Tuaran melalui Pejabat Daerah Kecil Kiulu.

Ini termasuk cadangan penyelesaian sementara daripada semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kiulu.

Sementara itu, penduduk Kampung Kionsom, Edry Simbun, 38, berkata dia dan keluarganya berjimat-cermat menggunakan air yang disalurkan dari Loji Rawatan Air Telibong.

“Ketika ini, saya dapati ada kalanya bekalan air semakin kurang disebabkan tekanan yang terlalu rendah dan kami menggunakannya secara berhemah iaitu hanya menggunakan pada rutin yang perlu. Cuaca kemarau yang berpanjangan menyebabkan sumber dari tadahan air bukit semakin sedikit dan kami perlu mengumpul air sebagai persediaan sekiranya terputus bekalan air nanti,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini