comscore
Tumpuan :
Nasional

Tujuh jalan sekitar Batu Caves ditutup bermula malam ini

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bersama Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Datuk Sasikala Devi a/p Subramaniam ketika mengadakan sidang media Sempena Perayaan Thaipusam di Dewan Kuil Batu Caves. FOTO: NSTP

GOMBAK: Tujuh jalan di sekitar kawasan Batu Caves di sini, akan ditutup bermula 10 malam ini hingga 27 Januari bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perayaan Thaipusam yang berlangsung pada 25 Januari nanti.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata penutupan jalan terbabit bergantung kepada situasi semasa keadaan lalu lintas.

Katanya, berdasarkan jumlah pengunjung tahun lepas, dianggarkan perayaan Thaipusam tahun ini dibanjiri seramai 1.5 hingga 2 juta pengunjung.

Jalan yang ditutup sepanjang tempoh itu adalah simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Jalan Batu Caves, lampu isyarat Jalan Station (Batu Caves Bypass), susur dari arah bulatan Batu Caves dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves.

FOTO: NSTP

Selain itu, susur dari arah Gombak menghala ke Kuil Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8 dan simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves menghala keluar ke MRR2 juga akan ditutup.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Kawalan Polis di Kuil Batu Caves, di sini, hari ini.

Hussein berkata hebahan berkaitan penutupan jalan akan disiarkan melalui papan kenyataan elektronik dari arah bulatan Batu Caves menghala ke Gombak dan menerusi laman rasmi Facebook Polis daerah Gombak dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Laluan alternatif yang dicadangkan oleh pihak polis akan dikemas kini melalui platform media sosial yang dinyatakan dari semasa ke semasa.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif dan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Katanya, Kementerian Pengangkutan turut mengumumkan tambang percuma bagi perkhidmatan bas Rapid dan Keretapi Tanah Melayu (KTM) komuter kepada pengunjung bermula 24 Januari hingga 25 Januari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata seramai 1,600 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai jabatan di seluruh kontinjen Selangor akan bertugas dalam Op Palu 2024 di zon sekitar Batu Caves.

“Sebarang kegiatan ataupun aktiviti yang mengganggu lalu lintas dan perhimpunan yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan serta merta,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga barang berharga bagi mengelak kecurian dan mengawasi pergerakan anak-anak serta mematuhi arahan pihak polis.

Loading...
Terkini