Tumpuan :
Nasional

Tuisyen percuma manfaat 20,000 pelajar kurang mampu

Foto hiasan

IPOH: Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun melancarkan Program Tuisyen Percuma yang akan memberi manfaat kepada hampir 20,000 pelajar di seluruh Parlimen itu khususnya daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40) dan M40.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Tambun Mohamad Hairul Amir Sabri berkata sasaran utama program itu adalah untuk membantu pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kami sediakan pembelajaran tuisyen dalam talian daripada darjah satu hingga tingkatan lima dan turut mendapat manfaat secara langsung daripada program ini melalui laman sesawang TambunTuition.com.

“Kalau kita lihat sekarang ini, kos untuk kelas tambahan agak tinggi contohnya jika satu keluarga itu ada tiga anak dan satu subjek RM50, empat subjek sudah RM200 maka tiga anak sudah cecah RM600 yang kos ini boleh dijimatkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohamad Hairul Amir berkata program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak itu telah dimulakan pada awal sesi persekolahan lepas dan kali ini diteruskan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Rambutan.

“Jadi kesemua pelajar dan murid hanya perlu memasukkan ID pengguna yang telah didaftarkan dan melayari laman sesawang tersebut yang telah didaftarkan dengan kerjasama JPN Perak melalui pendaftaran kad pengenalan mereka sebagai id pengguna.

“Mereka hanya perlukan akses Internet untuk membuat ulang kaji pada bila-bila masa sesuai dengan memilih apa jua subjek, topik dan subtopik yang telah disediakan,” katanya.

Sementera itu, Pengetua SMK Tanjong Rambutan Mohamat Adek Abdul Rahman ketika ditemui berkata inisiatif Pusat Khidmat Parlimen Tambun dan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mampu mengurangkan bebanan kos pendidikan ditanggung keluarga terlibat.

“Program ini sangat bermanfaat kepada murid-murid kami khasnya di Tanjong Rambutan terutamanya dalam subjek-subjek yang perlu mereka kuasai dan duduki dalam peperiksaan SPM.

“Kita harapkan usaha ini juga akan dapat memacu ibu bapa untuk memberi dorongan kepada anak-anak untuk terus belajar seterusnya cemerlang dalam bidang akademik kelak,” katanya. — BERNAMA

Loading...
Terkini