Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Tugu Peringatan dua kapal perang British, HMS Repulse dan HMS Prince of Wales, di Teluk Cempedak, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
Perasmian tugu itu sempena ulang tahun ke-82, setelah dua kapal perang itu karam di Laut China Selatan, di Perairan Pahang pada 10 Disember 1941 selepas dibom tentera Jepun.
Pembinaan tugu itu hasil kerjasama Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dan Tentera Laut Diraja British
Ketika kejadian dua kapal itu dalam pelayaran memintas pencerobohan tentera Jepun ke Tanah Malayu.
Bagaimanpun kapal dibom dan karam kira-kira 60 batu nautika dari pantai Kuantan dan mengorbankan lebih 800 kelasi termasuk Panglima Besar Armada Timur Jauh, Laksamana Madya Tom Phillips dan Pegawai Pemerintah HMS Prince of Wales, Kapten John Leach.
Tugu peringatan ini menempatkan sauh kapal HMS Repulse.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry CMG dan Duta Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi
Cucu Kapten Leach, Henrietta Wood turut diundang ke majlis perasmian tugu itu.
Wood yang ditemui selepas perasmian itu, berkata pembinaan tugu itu disifatkan sebagai penghargaan buat beliau sekeluarga serta semua waris mangsa terkorban dalam kejadian itu.
“Ini adalah simbol keamanan, harapan, ingatan dan menandakan persahabatan sekian lama antara United Kingdom serta Malaysia.” katanya.
Beliau mewakili waris mangsa dua kapal malang itu menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong merealisasikan pembinaan tugu peringatan berkenaan.