KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menggalas tanggungjawab dan amanah sebagai Perdana Menteri ke-10, dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab.
Beliau yang baru selesai mengangkat sumpah jawatan itu, mengakui tugas berat terbabit akan dipikul berpandukan kehendak dan nurani rakyat bersama pasukan.
“Amanah akan digalas dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab.
“Tugas berat ini akan saya pikul berpandukan kehendak dan nurani rakyat bersama pasukan,” katanya dalam hantara di Twitter, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun berusia 75 tahun itu selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini, hari ini.
Turut berkenan menyaksikan istiadat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pengumuman pelantikan Anwar, 75, sebagai Perdana Menteri bukan sekadar menamatkan kemelut pembentukan kerajaan Persekutuan, malah menoktahkan penantian 24 tahun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu untuk bergelar Perdana Menteri.
Pelantikan Anwar diperkenan Yang di-Pertuan Agong selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.
Pelantikan beliau selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.