Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menafikan rangka pesawat yang tular di media sosial itu adalah miliknya.
Dalam satu kenyataan hari ini TUDM memaklumkan semua pesawat milik TUDM berada dalam pegangannya dan diuruskan secara sistematik dan selamat.
“Susulan video dan gambar beberapa rangka pesawat yang dikatakan jenis F-5E buatan Amerika Syarikat yang tular di media sosial, TUDM ingin menegaskan bahawa pesawat-pesawat tersebut bukan milik TUDM.
“Pihak TUDM juga ingin menjelaskan bahawa semua pesawat milik TUDM berada dalam pegangan TUDM dan diuruskan secara sistematik, selamat dan bersesuaian dengan pengoperasian TUDM,” katanya.
Justeru, TUDM menyeru agar tidak dilanjutkan sebarang andaian yang boleh menimbulkan spekulasi atau persepsi yang tidak benar berhubung perkara berkenaan.
Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 10 saat memaparkan 6 rangka pesawat pejuang dipercayai berada di sebuah pelabuhan di Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.