
KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membantu menghantar 4.3 tan bekalan makanan daripada Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) untuk mangsa banjir di Sarawak menerusi penerbangan khas hari ini.
Menurut Bahagian Perhubungan Awam TUDM, bantuan tersebut melibatkan 2,000 kotak makanan sedia dimakan (RTEF), hasil sumbangan zakat Tabung Haji di bawah Misi Bantuan Banjir Sarawak.
“Penghantaran melalui penerbangan komunikasi logistik pesawat C130H dari Nombor 14 Skuadron berlepas pada 1 tengah hari tadi dari Pangkalan Udara Subang,” kata TUDM dalam kenyataan hari ini.
Bekalan dihantar ke Kuching dan Miri sebelum diagihkan kepada mangsa di kawasan bencana oleh YFBM dan agensi pengurusan bencana negeri.
Misi ini diketuai Mejar Muhammad Syahmin Abd Rahim selaku juruterbang bersama Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin dan enam anak kapal lain.
Turut serta, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Maritim (CPOM APMM), Lt Kol Mohd Amir Alias, serta Ketua Pegawai Operasi YFBM, Puteri Fazlieznoor Yahaya.
“TUDM akan terus komited dalam mendukung usaha dan kerjasama bersepadu semua pihak dalam membantu menyalurkan bantuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat.”
Misi ini juga sebahagian daripada inisiatif Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang dilaksanakan TUDM dalam membantu negara dan rakyat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.