PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan berlaku layanan buruk terhadap tahanan dalam depoh Jabatan Imigresen Kimanis di Sabah seperti yang tular sejak semalam.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata semua pihak perlu melihat keadaan fizikal dan kesihatan tahanan sebelum atau ketika dibawa pusat tahanan.
Katanya, tubuh tahanan yang susut atau kecil mungkin berpunca daripada aktiviti tidak sihat dilakukan sebelum ditahan.
“Kadang-kadang tidak adil juga kalau kita ‘overplay’ (besar-besarkan) isu ini.
“Pertama kita kena tengok apakah dia rakyat biasa yang mengamalkan gaya hidup sihat atau terbabit dalam aktiviti tidak sihat menyebabkan fizikalnya menjadi susut atau kecil.
“Susut bukan sebab ditahan tetapi ketika belum masuk lagi. Dia susut bukan disebabkan berada di pusat tahanan,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke Jabatan Imigresen di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Saifuddin Nasution berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa tahanan di depoh tahanan di Kimanis kononnya tidak mendapat makan minum mencukupi, selain tidak diberi ubat untuk masalah gatal kulit yang dialami.
Klip video selama 90 saat itu dipercayai tersebar sejak semalam.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen sentiasa menjalankan pemeriksaan mengejut di semua depoh bawah kawal selianya.
“Itu memang amalan biasa Jabatan Imigresen. Pemeriksaan dijalankan secara berkala di depoh Imigresen di seluruh negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, Malaysia dan Thailand komited mempertingkatkan kawalan sempadan dikongsi kedua-dua negara.
Katanya, ia hasil pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jen Prawit Wongsuwan, semalam.
Saifuddin Nasution berkata, kedua-dua negara juga bersetuju mewujudkan langkah susulan membabitkan pasukan keselamatan negara dengan negara jiran.
“Ia bukan khusus kepada insiden pengeboman ada di selatan Thailand atau di Bandung (Indonesia) tetapi ini komitmen berterusan kerana kedua-dua negara mempunyai hubungan yang sangat akrab (dengan Malaysia),” katanya.
Beliau turut menasihati rakyat negara ini yang mahu ke ke luar negara untuk peka dengan perkembangan semasa sesuatu lokasi atau destinasi yang mahu dikunjungi.