Tumpuan :
Nasional

Tubuh pasukan pakar urus harta diwakaf untuk manfaat ekonomi Islam

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir ke majlis makan malam Tahun Perundangan Syariah Sarawak di Kuching.

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Satu Jawatankuasa atau badan amanah pengurusan perlu ditubuhkan oleh institusi perudangan Islam bagi menguruskan tanah-tanah serta aset-aset masyarakat yang telah diwakafkan oleh pemilik sebelumnya.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan pengurusan yang sistematik dan tersusun berkaitan tanah serta aset terbabit, ia akan membantu mengukuhkan kedudukan ekonomi masyarakat Islam setanding dengan masyarakat lain di negara ini.

 

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada majlis makan malam Tahun Perundangan Syariah Sarawak di Kuching.

“Dengan sumber tersebut, kita setidak-tidaknya dapat memperkuatkan kedudukan ekonomi oran Islam. Ini termasuklah wakaf pertanian, tanah yang akan memberi kesan kepada kedudukan ekonomi masyarakat Islam.

“Saya harap pakar tersebut dapat meneliti perkara ini dan boleh dibawa kepada kami dalam kerajaan untuk kita mencari penyelesaian kepada sumber harta orang Islam mengikut hukum Syarak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Tahun Perundangan Syariah Sarawak di Kuching malam tadi.

Menurut Abang Johari, kekurangan badan pengurusan aset yang bertauliah khususnya melibatkan harta orang Islam telah menyebabkan banyak aset-aset milik masyarakat itu terhakis dan jatuh kepada pihak lain.

Keadaan serupa juga katanya, berupaya terjadi kepada aset-aset yang diwakafkan jika ia tidak diuruskan dengan sebaiknya mengikut hukum Syarak.

Justeru jelasnya, penting untuk masyarakat Islam memiliki pasukan pakar atau badan Amanah yang boleh mengurus seterusnya mentadbir aset-aset berkenaan agar ia bukan hanya dapat memberikan manfaat kepada masyarakat Islam malah membantu memperkukuhkan kedudukan ekonomi masyarakat terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini