Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Harta pusaka yang ditinggalkan pemilik berisiko jatuh ke tangan pihak lain jika tidak diurus dengan baik, terutama harta milik masyarakat Melayu Islam yang perlu difaraidkan mengikut hukum syarak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pencairan harta untuk tujuan faraid sering menyebabkan harta tersebut terdedah kepada risiko dibeli pihak luar, sekali gus menghakis milikan masyarakat Melayu.
“Pencairan harta-harta ini secara tidak langsung mendedahkannya kepada risiko jatuh ke tangan pihak lain.
“Jika tiada kaedah atau formula tertentu untuk mengekalkan harta dalam pengurusan masyarakat Melayu, ia pasti terhakis daripada milikan kita,” katanya selepas melancarkan buku Adat Melayu Sarawak Berteraskan Syariah Islam di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, kelemahan dari segi kekuatan kewangan menyukarkan masyarakat Melayu mengekalkan pemilikan harta yang dicairkan.
Beliau mencadangkan penubuhan sebuah badan amanah yang mempunyai dana kukuh dan bertindak sebagai pengantara untuk memastikan harta faraid kekal dimiliki oleh masyarakat Melayu.
“Masyarakat Melayu perlu berkorban dengan melabur dalam badan amanah ini.Jika harta mahu dijual kepada masyarakat bukan Melayu sekalipun, kita harus memastikan masih ada bahagian atau ekuiti yang kita miliki.
“Dengan cara ini, hartanah tersebut tidak akan terlepas sepenuhnya kepada pihak lain, dan kita dapat mempertahankan warisan harta tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau turut berkongsi kejayaan Tabung Amanah Pelaburan Satok, yang membeli Hotel Arif di Kuching untuk memastikan hartanah itu kekal milik masyarakat Melayu Satok.
“Formula itu membantu masyarakat Melayu di Satok daripada menghadapi isu kehilangan harta, seperti yang pernah berlaku di Kampung Baru, Kuala Lumpur,” katanya.
Langkah itu, jelasnya berupaya mengekalkan warisan kampung-kampung Melayu di kawasan berkenaan, sekali gus mengelakkan ia hanya tinggal nama pada masa depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.