TUARAN: Majlis Daerah Tuaran (MDT) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar pekan di sini ke arah usaha memastikan kebersihan, keselamatan dan kelancaran lalu lintas.
Pegawai Eksekutif MDT, Jamlin Ladin, berkata pemasangan CCTV membabitkan seluruh kawasan pekan hampir selesai dilaksanakan oleh syarikat Discovery Technology Sdn Bhd, yang menerima tanggungjawab menyediakan kemudahan itu.
“Ketika ini, penyediaan kemudahan membabitkan 19 CCTV di beberapa lokasi sekitar pekan Tuaran dalam proses akhir sebelum diaktifkan sepenuhnya.
“Ini adalah inisiatif untuk meningkatkan kecekapan MDT dalam membuat pengawasan dan pemantauan aspek kebersihan, keselamatan dan kelancaran lalu lintas di sekitar pekan Tuaran menerusi tadbir urus secara digital,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, langkah penyediaan kemudahan CCTV yang hanya ada di bandar besar itu menjadikan Tuaran sebagai bandar pintar yang pertama di Sabah.
Katanya, CCTV itu akan di pantau kakitangan yang ditugaskan menerusi pusat kawalan di bangunan MDT dan keupayaan kemudahan itu akan dinilai dan dinaiktaraf dari semasa ke semasa mengikut keperluan.