KUALA LUMPUR: ‘Triple Happines’ itu reaksi Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang menyifatkan Kerajaan Perpaduan meraikan tiga kali kegembiraan hari ini melalui kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Fahmi berkata, dua lagi kegembiraan itu ialah sambutan ulangtahun PKR ke-25 dan UMNO ke-78, yang masing-masing diadakan hari ini.
‘Triple Happines’ itu reaksi Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang menyifatkan Kerajaan Perpaduan meraikan tiga kali kegembiraan hari ini melalui kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu. pic.twitter.com/7Jk2mqkCyK
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) May 11, 2024
“Malam ini sangat mengujakan bukan hanya kerana kita sambut ulangtahun Keadilan, namun sekali dengan sambutan ulangtahun UMNO.
“Ia bersekali kemenangan Kerajaan Perpaduan di Kuala Kubu Bharu, tripple happines (tiga kegembiraan),” katanya ketika ditemui pada Malam Sambutan Ulangtahun PKR ke-25 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keputusan tidak rasmi menyaksikan PH berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 3,869 undi.
Sehingga jam 8 malam, PH berjaya meraih 11,818 undi, PN (8,303 undi); Bebas (159) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) 129 undi.
Sementara itu, Fahmi berkata, usaha untuk meremajakan PKR perlu terus dilaksanakan bagi menarik lebih ramai anak muda untuk menyertai perjuangan parti.
Beliau berkata, atas dasar itu pelbagai dasar dan program yang dilaksanakan PKR perlu selari dengan hasrat anak muda bagi memahami lagi isi hati mereka.
“Perubahan mendadak sedang berlaku dengan adanya kecerdasan buatan (AI) dan perubahan cara kita bekerja.
“Jadi perubahan ini perlu kita ambil dan terapkan dalam aktiviti dasar perjuangan,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh 25 tahun kewujudan PKR, Fahmi mengakui masih banyak yang belum dicapai parti dalam aspek reformasi namun ia perlu dilaksanakan dalam keadaan tidak tergesa-gesa.
“Banyak belum dicapai kita tahu banyak perkara kita rencanakan selama ini perlu susun dengan baik…seperti Perdana Menteri sebut untuk melaksanakan reformasi tidak boleh bersikap tergopoh gapah.
“Jadi sejumlah perancangan untuk PKR perlu ambil masa dan perubahan yang ingin dibawa mesti mempunyai asas yang kukuh termasuk ekonomi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.