comscore
Tumpuan :
Nasional

Tribunal keluarkan award pertama aduan gangguan seksual majikan terhadap pekerja

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Aduan gangguan seksual secara fizikal majikan terhadap pekerja membabitkan syarikat swasta di Negeri Sembilan menjadi award pertama dikeluarkan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, TAGS memerintahkan responden untuk membuat pernyataan permohonan maaf sebagaimana dipohon pengadu.

“Setelah mempertimbangkan keterangan dan bukti yang dikemukakan, TAGS mendapati bahawa pengadu (wanita) telah berjaya membuktikan bahawa responden (majikan lelaki) telah melakukan gangguan seksual ke atasnya,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, KPWKM berkata, award itu dikeluarkan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pertama pendengaran pada 23 Mei lalu.

Ia selaras peruntukan di bawah seksyen 19(1) Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840].

Menurut KPWKM, kes itu adalah aduan pertama diterima tribunal berkenaan sejak beroperasi pada 11 Mac lalu.

“TAGS menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum,” menurut kenyataan itu.

Mangsa gangguan seksual diseru untuk tampil membuat aduan di kaunter Tribunal bagi Antigangguan Seksual, KPWKM Putrajaya atau menghubungi Talian Kasih 15999 untuk sebarang pertanyaan.

Untuk rekod, TAGS ditubuhkan untuk menerima aduan bagi perbuatan gangguan seksual yang berlaku pada atau selepas 8 Mac 2024.

Tribunal berkenaan menyediakan saluran alternatif bagi mangsa mengambil tindakan terhadap pelaku untuk mendapatkan hak tebus rugi akibat gangguan yang dialami.

TAGS diterajui Hakim Mahkamah Sesyen Klang, Selangor, Syafeera Mohd Said sebagai Presiden serta dibantu dua pegawai kanan Jabatan Peguam Negara iaitu Mohd Nasruddin Mohamad selaku Timbalan dan Nurul Elida Baharudin sebagai Setiausaha tribunal itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini