Tumpuan :
Nasional

Tribunal Anti Gangguan Seksual diluluskan, platform hak mangsa tebus rugi

Oleh: Juliana Sharin & Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual, sebagai alternatif bagi menambah baik sistem perundangan dan pengendalian aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dengan kos minimum, diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam.

Mengumumkan perkara itu di Dewan Rakyat, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menganggap ia merupakan berita baik bagi membolehkan kementeriannya membantu golongan wanita secepat mungkin.

Tribunal itu juga ujarnya menyediakan platform bagi satu hak tebus rugi kepada mangsa yang telah diganggu secara seksual.

“Sebagai permulaan,pada masa ini, tribunal ini hanya akan diwujudkan di Kuala Lumpur dahulu, dan sekiranya di masa hadapan terdapat keperluan untuk ditambah ke negeri-negeri yang lain, kita akan teliti semula dan usahakan sebaiknya,” jelasnya.

Walaupun begitu, Seksyen 12 (3) Akta Anti Gangguan Seksual 2022 memperuntukkan bahawa tribunal boleh bersidang dalam satu atau lebih persidangan pada mana-mana hari dan pada bila-bila masa atau di mana-mana tempat sebagaimana ditentukan oleh presiden.

“Justeru sekiranya ada keperluan untuk tribunal bersidang di negeri-negeri lain, ia masih boleh dilaksanakan melalui peruntukan undang-undang dalam akta ini,” tambahnya.

Akta Anti Gangguan Seksual 2022 [Akta 840] dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac 2023.

Fasa pertama penguatkuasaan Akta itu adalah melibatkan advokasi gangguan seksual kepada orang awam manakala penubuhan Tribunal Anti Gangguan Seksual pula adalah pada Fasa yang kedua.

Loading...
Terkini