comscore
Tumpuan :
Nasional

Trend ‘childfree’ risiko Malaysia menua

Foto hiasan

Oleh: Farah Nabilah Wazer 

KUALA LUMPUR: Malaysia diramal menjadi negara menua pada tahun 2030 dengan sebilangan besar rakyatnya mencecah umur 60 tahun.

Kadar kelahiran anak merosot menjadi antara faktor penyumbang.

Turut menjadi kebimbangan ialah perkahwinan bebas anak yang dikatakan semakin menular.

Seorang pekerja swasta, Hilman Mohd Syokri berkata, kos penjagaan anak yang tinggi menyebabkan dia dan pasangan memilih untuk tidak mempunyai zuriat.

“Saya lebih rela membela haiwan peliharaan kerana lebih murah dan senang jaga,” ujarnya.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, objektif perkahwinan yang ditentukan oleh syariat Islam adalah untuk melahirkan zuriat.

“Jika dari awal pasangan berkahwin tidak mahu ada zuriat, ia akan memberi kesan kepada generasi kita,” katanya.

Dua pandangan jauh berbeza, namun ia intipati perbahasan membara mengenai fenomena berkahwin tetapi tidak mahu mempunyai anak dalam masyarakat Malaysia khususnya dalam kalangan pasangan Melayu.

Ia menimbulkan kebimbangan bukan sahaja dalam kalangan agamawan tetapi juga kerajaan sendiri kerana mencakupi pelbagai risiko kepada pertumbuhan negara.

Istilah ‘DINK’ atau ‘Dual Income No Kids’ menjadi topik hangat.

Di platform media sodial, pelbagai pendapat mengenai hujah golongan ‘Millenials’ dan ‘Gen Z’ yang rata-rata menyokong ‘DINK’ atas faktor kewangan.

Mereka tidak mahu dibebani komitmen jangka panjang membesarkan zuriat, malah mengutamakan kerjaya berbanding mengisi naluri untuk menimang cahaya mata.

Sebuah syarikat insurans global menganggarkan kos membesarkan anak di Malaysia hingga pendidikan universiti pada usia 23 tahun mencecah antara RM400,000 hingga RM1.1 juta.

Anggaran ini belum dicampur dengan kos lain seperti belanja percutian, rawatan kesihatan, simpanan dan sebagainya.

Mengambil kira faktor kos, hujah pasangan ‘DINK’ ialah mereka rela hidup bebas anak daripada gagal menyediakan kehidupan selesa dan terjamin buat mereka.

Apapun, konsep perkahwinan ‘childfree’ dilihat memberi tekanan kepada negara dalam tempoh jangka panjang.

Berbaki enam tahun sahaja lagi, lebih 15 peratus atau hampir enam juta daripada penduduk negara ini diunjur mencapai umur 60 tahun dan lebih.

Manakala kadar kelahiran nasional menunjukkan penurunan ketara lebih 50 peratus dibandingkan 20 tahun lalu.

Justeru, jika lebih ramai yang kahwin tetapi tidak mahu komitmen anak, maka Malaysia makin sukar keluar daripada kepompong negara menua, sekaligus memberi kesan kepada produktiviti dan tenaga kerjanya.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, golongan berpendapatn rendah banyak membantu negara dalam penghasilan kelahiran tinggi.

“Jadi saya menyeru mereka yang berpendapatan tinggi ni kita juga menyumbang kepada kelahiran negara,” katanya.

Tidak dinafikan, realiti kehidupan dalam persekitaran mencabar baik dari segi kewangan, kerjaya malah pengaruh media sosial, banyak mempengaruhi pemikiran pasangan.

Pada masa sama, itu semua tidak harus menidakkan ajaran Islam, juga penting untuk tidak bingkas melempar tuduhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini