comscore
Tumpuan :
Nasional

Tren Baharu Laluan LRT Kelana Jaya Tiba Mulai Jun 2023

LRT Laluan Kelana Jaya

KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam proses menerima 19 tren empat gerabak baharu bagi Transit Aliran Ringan  (LRT) Laluan Kelana Jaya.

Menurut Rapid Rail dalam kenyataan hari ini, menerusi projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27) itu, tren-tren tersebut akan diterima secara berperingkat bermula Jun 2023 sehingga Disember 2024 dan akan menggantikan sebahagian daripada operasi tren dua gerabak yang diguna pakai sejak 1998.

Bagi operasi penambahbaikan perkhidmatan LRT itu pula, Rapid Rail memaklumkan pihaknya masih menunggu penerimaan ‘tachometer’ (alat yang digunakan untuk mengukur kelajuan putaran enjin)  yang ditempah pada pertengahan Mei 2022 daripada pembekal di Eropah.

“Pihak Rapid Rail telah menerima surat daripada pembekal menyatakan jadual penghantaran alat ganti ini mengalami kelewatan daripada jadual asal iaitu bulan Disember 2022 disebabkan masalah bekalan komponen elektronik bagi ‘tachometer’ tersebut.

“Jangkaan tarikh baharu penghantaran alat ganti akan diterima secara berperingkat dari sekarang sehingga Mei 2023. Bagaimanapun, pihak Rapid Rail sedang dalam perbincangan dengan pihak pembekal agar penghantaran alat ganti tersebut dapat dipercepatkan,” menurutnya.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja penukaran akan segera dijalankan dan kekerapan tren dijangka kembali kepada tiga minit menjelang September 2023 setelah menerima alat ganti tersebut.

Mengenai status terkini operasi penambahbaikan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang, program penggantian roda sedang giat dijalankan dan Rapid Rail telah membeli sebanyak 1,040 unit roda baharu yang akan diterima secara berperingkat untuk penggantian itu.

“Proses penggantian ini telah bermula sejak Jun 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2023. Kerja-kerja penggantian memerlukan tempoh masa bagi memastikan kualiti pemasangan dijalankan secara terperinci dan teliti demi keselamatan pengguna.

“Melalui proses penggantian ini, lebih banyak tren boleh beroperasi. Penambahbaikan secara progresif akan dapat dilihat dari sekarang dan kekerapan tren akan dapat dikembalikan kepada empat minit di waktu puncak pada Ogos 2023,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bagi operasi penambahbaikan perkhidmatan Monorel, Rapid Rail memaklumkan menjelang Disember tahun ini, sebanyak lapan tren akan beroperasi bagi membolehkan kekerapan tren dikurangkan kepada enam minit di waktu puncak.

“Perkhidmatan Monorel kini beroperasi menggunakan tujuh set tren dengan kekerapan tujuh minit di waktu puncak dan 10 minit di luar waktu puncak pada hari bekerja.

“Selaras dengan pembukaan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 yang dijadualkan pada suku pertama 2023, perkhidmatan Monorel dijangka beroperasi menggunakan 10 set tren dengan kekerapan lima minit,” menurutnya.

Dalam pada itu, pihak Prasarana turut melanjutkan waktu puncak perkhidmatan tren iaitu 7 pagi hingga 9.30 pagi (waktu puncak pagi) dan 5 petang hingga 7.30 malam (waktu puncak petang) selaras dengan penambahan kekerapan perkhidmatan Rapid Bus bagi kemudahan pengguna, bermula semalam.

“Rapid Rail akan memaklumkan perkembangan proses penambahbaikan dari semasa ke semasa kepada orang awam menerusi saluran media sosial dan media massa,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

Loading...
Terkini