Tumpuan :
Kemalangan

Treler terbabas punca Lebuhraya Karak sesak

Keadaan lori yang terbabas dan kesesakan yang berlaku di KM 40.9 Lebuhraya KLK pada masa ini. – FOTO: PDRM

KUALA LUMPUR: Laluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Bentong sesak hampir enam kilometer selepas sebuah treler bermuatan baja, kemalangan di Kilometer (KM) 40.9, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika treler berkenaan dalam perjalanan dari Subang ke Terengganu.

Katanya, treler dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun mengalami kerosakan brek setiba di KM 40.9 Lebuhraya KLK menghala ke Plaza Tol Bentong.

“Pemandu treler cuba memberhentikan kenderaannya namun treler itu tiba-tiba mengundur ke belakang, dan menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan.

“Kejadian itu mengakibatkan kerosakan di bahagian kepala treler dan tidak boleh dialihkan. Sebahagian badan treler juga terperosok dalam longkang di tempat kejadian.

“Insiden menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas hampir enam kilometer dari KM 30.1 menghala ke lokasi kemalangan selepas lorong perlahan terhalang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, kesesakan bermula kira-kira jam 11.30 pagi tadi apabila jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya itu meningkat dan setakat ini, treler berkenaan belum dialihkan.

“Kita sudah memanggil pemilik treler terbabit untuk menggantikan kepala treler dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengalihkan treler dari tempat kejadian,” katanya.

Katanya, pemandu treler tidak cedera dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Loading...
Terkini