comscore
Tumpuan :
Nasional

Treler minyak sawit mentah terbabas masuk Sungai Lubok Gayong

Treler terbabas ke dalam anak sungai Lubok Gayong, Benta di Kilometer 2, Jalan Benta – Jerantut, Lipis pagi tadi. Foto Ihsan Polis

KUANTAN: Seorang pemandu treler cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam anak sungai Lubok Gayong, Benta di Kilometer 2, Jalan Benta – Jerantut, Lipis pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Ismail Man berkata dalam kejadian pada 9 pagi itu, Muhamad Ruzaini Abdul Manaf, 36, dalam perjalanan ke Semenyih, Selangor dari kilang sawit di Felcra Jaya Putra, Kampung Damak, dengan membawa muatan minyak sawit seberat 42 tan.

“Siasatan awal polis mendapati ketika sampai di tempat kejadian treler dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik TNB. Insiden itu menyebabkan muatan tangki minyak sawit itu tergolek ke dalam anak sungai Lubok Gayong.

“Akibat kemalangan itu, pemandunya dari Felda Jengka 11, Jerantut cedera pada bahagian belakang badan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Benta untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Kaedah 10LN 166/59 (Kaedah – Kaedah lalu lintas 1959).

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang dalam kenyataannya mengesahkan terdapat tumpahan minyak sawit minyak mentah (CPO) akibat insiden itu dan tindakan segera telah dilakukan oleh pihak pemilik treler berkenaan.

“Anggaran CPO yang telah tumpah kira-kira 8 hingga 12 tan iaitu 20 peratus hingga 30 peratus daripada kapasiti penuh tangki iaitu 40 tan.

“Tindakan pembersihan tumpahan minyak dan mengeluarkan tangki lori sedang dijalankan oleh pihak transporter serta syarikat pemilik CPO berkenaan di lokasi kejadian dan kawasan sungai yang terlibat,” katanya.

Menurut kenyataan itu JAS turut memeriksa bahagian hilir sungai lokasi kejadian dan mendapati tiada lagi kesan minyak sawit mengalir ke kawasan hilir sungai di Sungai Lipis.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada loji rawatan air terdekat yang terkesan dengan kejadian ini,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini