comscore
Tumpuan :
Nasional

Treler kayu hilang kawalan dan terbabas punca nahas 7 kenderaan – Polis

 

NIBONG TEBAL: Treler membawa muatan kayu yang hilang kawalan dan terbabas dipercayai punca nahas jalan raya membabitkan tujuh kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Nibong tebal, Pulau Pinang awal pagi tadi.

Dalam nahas jam 4.10 pagi itu, lima sekeluarga termasuk seorang wanita warga emas menaiki kereta Toyota Corolla dari Perak sebelum kenderaan dinaiki terbabit kemalangan sehingga mengorbankan seorang ahli keluarga mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Ng Ah Thiam, berkata kemalangan dipercayai berpunca daripada sebuah treler membawa muatan kayu yang hilang kawalan dan terbalik berikutan dilanggar sebuah lagi treler dari arah sama.

“Pada masa sama, datang sebuah kereta dinaiki lima sekeluarga tidak sempat membrek dan melanggar treler muatan kayu terbabit sehingga mereka mengalami kecederaan parah manakala seorang ahli keluarga maut.

“Lima sekeluarga itu dalam perjalanan menghantar ahli keluarga mereka di sebuah pusat pengajian di Perlis,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang maut adalah seorang wanita warga emas berusia 76 tahun manakala yang parah adalah pemandu kereta berusia 54 tahun, isterinya, 48 tahun serta dua anak mereka berusia 19 dan 22 tahun.

Katanya, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan Hospital Parit Buntar, Perak untuk rawatan lanjut.

“Dalam kejadian itu, pemandu treler yang membawa muatan kayu berusia 24 tahun turut parah dan sedang menerima rawatan di hospital,” katanya.

Ah Thiam berkata, kemalangan turut membabitkan empat kenderaan lain yang berada di belakang kereta Toyota Corolla berkenaan yang tidak sempat memberhentikan kenderaan.

“Dua penumpang daripada empat kenderaan yang terbabit dilaporkan mengalami cedera ringan,” katanya.

Terdahulu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal ke lokasi kejadian selepas dimaklumkan berhubung kemalangan membabitkan 21 individu.

Loading...
Terkini