Tumpuan :
Nasional

Treler gagal daki laluan bukit, ratusan kenderaan terkandas

Keadaan treler yang gagal melepasi jalan mendaki di Bukit Mentimun, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling, hari ini. – Foto media sosial

JERANTUT: Sebuah treler gagal melepasi jalan mendaki di Bukit Mentimun, Jalan Jerantut-Kuala Tembeling di sini, awal pagi tadi, menyebabkan deretan kenderaan lain terhalang di kedua-dua arah jalan itu dianggarkan hingga sejauh kira-kira 500 meter.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata insiden berlaku apabila treler yang sarat dengan muatan tandan sawit itu terkandas di laluan berkenaan sekitar jam 3 pagi.

Susulan itu, beliau berkata, dianggarkan antara 100 hingga 200 kenderaan tersekat di kedua-dua arah laluan berkenaan yang menjadi tumpuan ramai pengguna setiap hari.

“Balai Polis Kuala Tembeling telah dihubungi supaya meletak kon Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai tanda amaran awal bahawa jalan terbabit tidak boleh dilalui.

“Anggota polis trafik turut digerakkan ke lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas sementara menunggu trak tunda mengalihkan treler terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden itu.

Sementara itu pengguna tetap jalan raya terbabit, Abdullah Hassan, 52, berkata pihak kerajaan wajar segera menaik taraf laluan berkenaan yang merentasi kedua-dua Bukit Mentimun dan Bukit Atap.

“Lereng kedua-dua bukit itu mempunyai kecerunan tinggi dan kenderaan berat kerap terkandas di jalannya yang mendaki, sekali gus menghalang laluan.

“Setiap bulan, berlaku tiga hingga empat kejadian kenderaan berat terpaksa mengundur kerana gagal melepasi jalan itu.

“Keadaan itu boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain, terutama kenderaan kecil atau mengekori terlalu dekat,” katanya.

Abdullah yang rutin menggunakan laluan itu untuk ke tempat kerjanya di Jerantut turut mendakwa, keadaan terbabit sudah dialami pengguna dari kedua-dua arah jalan berkenaan sejak lebih 30 tahun lalu.

Malah dalam kejadian hari ini, beliau memaklumkan setakat jam 3 petang tadi, kerja mengalihkan treler itu masih belum selesai dan hanya motosikal serta kenderaan kecil boleh mencelah di laluan sempit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini