Tumpuan :
Nasional

‘Transporter’ dadah ditahan, dadah bernilai RM2 juta dirampas

Oleh: Kumaran Rajamoney

SLIM RIVER: Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita yang dipercayai menjadi ‘tranporter’ dadah dalam satu serbuan yang dilakukan di parkir sebuah pusat perniagaan di Taman Sri Jaya di sini, Isnin lalu.

Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata penahanan kereta jenis Proton Preve yang dinaiki suspek dilakukan kira-kira jam 3.35 petang oleh pasukan dari JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Kontijen Perak dan Perlis.

“Hasil pemeriksaan kereta itu, pasukan serbuan telah berjaya merampas 50 bungkusan plastik yang mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine yang dijumpai di dalam bonet kereta itu.”

“Kesemua dadah ini dipercayai dibawa dari negeri utara tanah air menggunakan sebuah kenderaan sewa lain, sebelum melakukan pemindahan ke kereta yang kita tahan. Dadah ini kemudiannya akan dibawa ke Lembah Kelang untuk dipasarkan,” katanya.

Kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM2 juta dan boleh digunakan oleh seramai 260,000 orang penagih dadah.

Suspek utama dipercayai menerima bayaran berjumlah RM2,000 setiap kali penghantaran berjaya dibuat, manakala dua lagi suspek yang merupakan isteri dan rakannya menerima imbuhan daripadanya

“Mereka ini hanyalah individu yang diupah untuk melakukan penghantaran dadah ini dari satu lokasi ke lokasi lain. Kita sedang melakukan siasatan penglibatan sindiket berdasarkan tangkapan ini dan beberapa tangkapan yang terdahulu.”

Saringan awal terhadap suspek utama juga didapati positif dadah, dan tiga rekod lampau kesalahan jenayah dan narkotik.

Kesemua suspek lingkungan usia 25 hingga 27 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga 18 November ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini